Sunday, June 12, 2011

Muhasabah Dakwah Buat Teman Seperjuangan

Assalamualaikum wbt ikhwah akhawat fillah...

Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah swt, yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.. Selawat dan salam ditujukan khas untuk kekasih Allah swt, insan pilihan lagi terpilih iaitu baginda nabi Muhammad saw...

Ikhwah akhawat fillah...Banyak sungguh yang berlaku sejak akhir-akhir ini.. dan pastinya segala yang berlaku menjadi rencah kehidupan yang entahkan masih panjang, ataukah telah hampir ke penamatnya..

Sangat gembira bila saff kepimpinan yang diimpikan selama ini akhirnya mampu didirikan.. tapi juga terasa gusar dengan amanah yang terpikul di bahu.. melihat riak semangat sahabat-sahabat yang turut menerajui saff ini, terasa amat lapang dan gembira.. namun, masih banyak perkara perlu dirancang dan difikirkan, semuanya untuk memastikan kelangsungan gerak kerja dakwah di bumi Terengganu ini..

Untuk ikhwah akhawat yang disayangi, bersyukurlah kepada Allah, kerana diantara ribuan malahan jutaan insan dimuka bumi ini, dikau adalah antara mereka yang terpilih untuk berada di jalan ini.. tika rakan-rakan seusiamu galak menikmati zaman mudanya yang penuh dengan keseronokan dunia, dikau pula bergelumang dengan permasalahan yang bukan kecil untuk difikirkan, iaitu masalah ummah, yang pada zahirnya kelihatan 'sihat' namun sebenarnya telah dikelilingi malah 'diratah' oleh 'makhluk' kejahilan..

Lihatlah disekelilingmu ikhwah akhawat yang kukasihi, bagaimana 'binatang' kejahilan telah 'menelanjangkan' keimanan rakan-rakanmu, hinggakan bukan saja jasad mereka 'terdedah' dengan penjajahan, malah fikiran mereka juga turut terpenjara.. dan tanpa sedar, ummah ini kembali terjajah! Tidakkah dikau mengasihani mereka ini? Tidakkah dikau meratapi kesakitan mereka? bilamana mereka diperlakukan sesuka hati, dikau seharusnya turut merasai penderitaan mereka, walaupun pada zahirnya, mereka sendiri tidak menyedari 'penyakit' yang menjangkiti mereka!

Tegarkah dikau melihat insan-insan disekelilingmu terus 'dilanyak' oleh 'makhluk' kejahilan, lantas membiarkan mereka 'mati' tanpa mengenal erti berTuhan? Pandanglah mereka dengan kasih sayang, bukan dengan jelingan cemuhan.. Relakanlah bahumu untuk menanggung beban kesakitan tatkala menjulang amanah pengislahan ini, relakanlah kakimu untuk terluka tatkala melalui jalan yang penuh onak duri ini, relakanlah dirimu, hartamu, jiwamu dan ragamu terkorban untuk tugasan ini..

Jangan dikau khuatir kerana Allah pasti akan bersamamu.. tapi awas sayangku, ku menukilkan semuanya ini kerana daku merasakan ada kelompangan dalam setiap dari kita yang akhirnya akan menyebabkan retaknya saff dakwah ini. jangan dikau tertipu dengan permainan syaitan durjana, jangan dikau jadikan medan ni tempat untuk berbangga-bangga, kerana kita bukan sesiapa, hanyalah hambaNya yang lemah semata-mata, bukan kita yang menentukan naik turunnya, bangkit jatuhnya ummah ini, bukan kita yang mengubah ummah ini, kerana ianya ketentuan Allah semata-mata..

Namun sekurang-kurangnya, jadilah kita umpama burung kecil yang menangguk titisan air ke paruhnya lalu cuba memadamkan api yang marak membakar tubuh Ibrahim, nabi pilihan Allah. Walaupun si burung tahu usahanya tidak berkepastian untuk berjaya, namun sekurang-kurangya dia telah menaburkan usaha dan pastinya akan ada jawapan untuk disuarakan saat berhadapan dengan Allah kelak.. Kita pula bagaimana? Saat melihat ummat ini 'kesakitan' akan adakah jawapan untuk dipersembahkan kepada Rabb kelak?

Ikhwah akhawat yang dikasihi Allah, disamping dikau memikirkan ummah ini, jangan dikau lupa akan dirimu sendiri.. perkasakan dirimu dengan tarbiyah, mantapkan keimananmu dengan mendekatkan diri kepadaNya, jangan sesaat pun kau leka dengan dunia, dan jangan sesekali kau melayan lelah yang berbekas di jiwa..Bukankah janji Allah itu pasti benar? yakinlah dikau, setiap keperitan yang dikau rasai, setiap titisan air mata yang dikau tangisi, setiap jejeran peluh yang turun membasahi tatkala langkahmu diatur dijalan ini, semuanya tidak akan terlepas daripada pandangan Ilahi, dan serahkan sajalah kepadaNya untuk mengganjari..

Bahu sudah menggalas amanah, kaki harus mula melangkah, jangan lengah, jangan mengah.. mari kita atur langkah ini bersama, pastikan selari pastikan sehati, pacakkan azam, kukuhkan iltizam, andai ada antara kita yang tersungkur rebah, hulurkan tanganmu jangan lengah, bisikkan padanya 'kau harus tabah!'.. Medan ini memang payah, medan ini membuatmu resah, namun jangan sesekali kau rasa gundah, kerana di sisimu adanya Allah!

Ya Allah Yang Maha Besar, kami hambaMu yang sememangnya lemah, bantulah kami, tolonglah kami, atas perjuangan di medan ini... Tiada apa yang ada pada kami untuk dipersembahkan padaMu, hanyalah jasad ini, jiwa ini, harta ini, masa ini, tenaga ini, yang juga milikMu, yang juga pinjamanMu, untuk kami pertaruhkan buat menghadapi ranjau di perjalanan ini.. Ya Allah ya Tuhan yang berkuasa membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas keimanan terhadapMu, lorongkankah kami ke jalanMu yang lurus, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.. Ya Allah, tidak kami minta dikurangkan ujian, namun kami minta untuk ditambahkan keteguhan untuk terus melangkah di jalan ini, semoga akhirnya perjalanan ini membawa kami ke Jannah.. Ya Allah, redhailah kami dan peliharalah kami dalam kasih sayangMu..


"orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan"
(At-taubah: 20)

Friday, February 11, 2011

Luahan Hati Yang Rindu

Bismillah barakatillah...
Ya Allah, hambaMu yang dhaif ini mohon keampunanMu Ya Allah. Aku tidak sanggup untuk hidup tanpa cinta dan agamaMu. Sesungguhnya hinalah aku tanpanya. Dan aku merayu kepada semua/kalian yang berada di sekelilingku iaitu ummat Muhammad Rasul s.a.w untuk masuk islam secara keseluruhannya. Bukan pada namanya sahaja.

Wahai Yang Maha Agung lagi Maha Mulia, Yang Mentadbir Langit dan Bumi serta Seluruh Alam Raya, Yang Maha Mencipta Cinta Yang Kudus lagi Suci, aku ini hanyalah hambaMu yang tidak mempunyai manfaat kepada sesiapa pun. Malah belum tentu dapat memberi manfaat kepada sesiapa pun. Akan tetapi Ya Allah, Engkau sentiasa menyayangiku melalui ujian-ujian yang Kau kurniakan. Kadang kala aku merasakan berat akan ujian-ujian ini walaupun aku tahu Engkau tidak akan mengurniakan bebanan yang lebih berat dari kemampuan setiap hambaMu.

Ya Allah, hadirlah ke dalam hati ini, hati yang penuh dengan kekotoran, kefasikan, kedengkian, kesombongan, kebodohan, keujuban dan banyak lagi. Ya Razzaq, golongkanlah aku dalam golongan hambaMu yang sedikit iaitu hambaMu yang bersyukur dan bersabar...ameen Ya Rabb.

Friday, April 23, 2010

Wahai Kekasihku

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...
aku mohon maaf atas segala kesilapanku Ya Allah,
kesilapan yang telah lalu dan yang akan datang,
Engkau sajalah tempat aku mengadu wahai Kekasihku.

aku rayu padaMu Ya Latif...dengan penuh rasa takut jika Engkau sedikit tidak menghiraukan permintaanku dan penuh rasa mengharap Engkau mendengar segala rintihanku,
aku hambaMu yg keji, hina, zalim, kejam serta jahil lagi sangat memerlukan belas kasihan, kasih sayang, perhatian, pertolongan, perlindungan dan segala-galanya dariMu Ya Rabb.

Ya Rabbi Ya Karim Ya Fattah...
aku lemah dan tiada daya,
tanpaMu aku tidak bererti apa-apa,
malah aku bertambah hina dan hina dan hina lagi.

Ya A'lim Ya Razzaq...tolonglah terima aku kembali,
kembalikan hati dan jiwa ini di sisiMu,
supaya iman sentiasa terpelihara dan khusyuk.

Ya Tawwab...
sekiranya kurangnya aku, Engkau cukupkanlah,
bodohnya aku, Engkau pandaikanlah,
hinanya aku, Engkau muliakanlah,
angkuhnya aku, Engkau tundukkanlah,
bongkaknya aku, Engkau tawadhu'kanlah.

Ya Sattar...
aku sangat mencintaiMu dan RasulMu,
rupanya baru kutahu...
setiap makhlukMu yang kucintai selama ini sebenarnya bukan mereka yang aku cintai tetapi Pencipta mereka yang kucintai...iaitu Engkau wahai Kekasihku...

Tuesday, March 2, 2010

Munajat Di Jalan Da'wah

Wahai Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Yang menganugerahkan nikmat iman, Islam dan ihsan pada kami,
Yang menitipkan hidayah penyuluh jalan,
Yang mengumpulkan kami dalam satu wadah perjuangan,
Hingga jiwa bertautan lantaran ukhuwah yang indah,
Berjanji setia mahu berkorban apa saja,
Demi redhaMu yang mulia, bukan untuk sebarang pangkat dan nama.

Wahai Rabb yang berkuasa menguji dan menilai,
Menetapkan siapa yang harus masih tetap di jalan,
Juga menapis dan menyaring setiap yang mengaku beriman,
Memilih siapa yang akan menempuh jalan mustaqim,
Juga memberi pilihan pada manusia tanpa sebarang paksaan.

Ya Allah Ya Khabir,
Selamatkanlah perjuangan kami,
Dari kelemahan dan dosa-dosa kami sendiri,
Jernihkanlah pengorbanan kami,
Agar terus semerbak dengan keikhlasan yang menjadi benteng,
Kubu kekuatan menangkis tipu daya syaitan yang sentiasa mengintai-ngintai peluang.

Ya Allah Ya Latif,
Bimbing hati kami agar mengikis mazmumah dan menyemai mahmudah,
Pacakkan kaki kami agar istiqamah mengagungkanMu semata-mata,
Jinakkan hati kami untuk menundukkan amarah yang hina.

Ya Allah Ya Sattar,
Lindungi keaiban kami,
Tutuplah kelemahan kami,
Kukuhkanlah kekuatan kami,
Didik kami agar mampu menerima ketetapanMu,
Sekalipun pahit, sukar, berat dan amat menyeksakan.

Ya Rabb,
Sungguh, Engkau tidak akan membiarkan usaha kerdil kami sia-sia,
Kerana kami hanya mahu menebus diri dari kemurkaanMu,
Hanya dengan kecintaanMu sahajalah kami bisa selamat dan terhormat.
Tetapkanlah hati saudara–saudara kami dalam satu saff yang lurus, membina satu bangunan yang kukuh, ibarat dalam QuranMu yang mulia.

Rabb... Engkau tumpuan kecintaan, ketaatan, kesetiaan dan segala-galanya.
Limpahkan ketenangan yang bercambah dari iman yang teguh,
Sesungguhnya aku pasrah...

Ya Allah, Engkau tidak pernah dan tidak akan sekalipun membiarkan aku terumbang-ambing tanpa pedoman.
KepadaMu, untukMu dan hanya buatMu,
kuwakafkan segalanya...

Sunday, November 8, 2009

Bekal Isteri Aktivis Da'wah

1. Bekalan Yang Bersifat Pemahaman (fikrah).

Hal penting yang harus dipahami oleh istri seorang aktivis dakwah, bahwa suaminya tak sama
dengan ‘model’ suami pada umumnya. Seorang aktivis dakwah adalah orang yang
mempersembahkan waktunya, gerak amalnya, getar hatinya, dan seluruh hidupnya demi
tegaknya dakwah Islam dalam rangka meraih ridha Allah. Mendampingi seorang aktivis adalah
mendampingi seorang prajurit Allah. Tak ada yang dicintai seorang aktivis dakwah melebihi
cintanya kepada Allah, Rasul, dan berjihad di jalan-Nya. Jadi, siapkan dan ikhlaskan diri kita
untuk menjadi cinta ‘kedua’ bagi suami kita, karena cinta pertamanya adalah untuk dakwah dan
jihad!

2. Bekalan Yang Bersifat Ruhiyyah.

Berusahalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Jadikan hanya Dia tempat bergantung semua
harapan. Miliki keyakinan bahwa ada Kehendak, Qadha, dan Qadar Allah yang berlaku dan pasti
terjadi, sehingga tak perlu takut atau khawatir melepas suami pergi berdakwah ke manapun.
Miliki keyakinan bahwa Dialah Sang Pemilik dan Pemberi Rezeki, yang berkuasa melapangkan
dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki. Bekalan ini akan sangat membantu
kita untuk bersikap ikhlas dan qana’ah ketika harus menjalani hidup bersahaja tanpa limpahan
materi. Dan tetap sadar diri, tak menjadi takabur dan lalai ketika Dia melapangkan rezeki-Nya
untuk kita.

3. Bekalan Yang bersifat Ma’nawiyyah (mental).

Inilah di antara bekalan berupa sikap mental yang diperlukan untuk menjadi istri seorang aktivis:
kuat, tegar, gigih, kokoh, sabar, tidak cengeng, tidak manja (kecuali dalam batasan tertentu) dan
mandiri. Teman saya mengistilahkan semua sikap mental ini dengan ungkapan yang singkat:
tahan banting!

4. Bekalan Yang bersifat Aqliyyah (intelektual).

Ternyata, seorang aktivis tidak hanya butuh pendengar setia. Ia butuh istri yang ‘nyambung’
untuk diajak ngobrol, tukar pikiran, musyawarah, atau diskusi tentang kesibukan dan minatnya.
Karena itu, banyaklah membaca, rajin mendatangi majelis-majelis ilmu supaya tidak ‘tulalit’!

5. Bekalan Yang Bersifat Jasadiyyah (fizikal).

Minimal sehat, bugar, dan tidak sakit-sakitan. Jika fisik kita sehat, kita bisa melakukan banyak
hal, termasuk mengurusi suami yang sibuk berdakwah. Karena itu, penting bagi kita untuk
menjaga kesehatan, membiasakan pola hidup sehat, rajin olah raga dan lain-lain. Selain itu,
jangan lupakan masalah merawat wajah dan tubuh. Ingatlah, salah satu ciri istri shalihat adalah
‘menyenangkan ketika dipandang’.

Akhirnya, ada bekalan yang lain yang tak kalah penting. Itulah sikap mudah memaafkan.
Bagaimanapun salah dan takwanya seorang aktivis, tak akan mengubah dia menjadi malaikat
yang tak punya kesalahan. Seorang aktivis dakwah tetaplah manusia biasa yang bisa dan
mungkin untuk melakukan kesalahan. Bukankah tak ada yang ma’shum di dunia ini selain
Baginda Rasulullah?

Dipetik dari '5 Bekal Istri Aktivis Dakwah' oleh Dra. Anis Byarwati, MSi.

Khas buat kakak-kakakku yang bakal menyertai 'Kelab Alumni Bujang Sedunia' tak lama lagi.
(Kak Nurul, Kak Ana & Kak Shee --> 22/11, 28/11 & 12/12)...inshaAllah.
Semoga antumna berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat serta cinta kalian terus kekal dan subur sampai ke syurga, ameen ameen ameen ya Rabbal 'alamin.

Friday, October 16, 2009

Ada Apa Dengan Da'wah?


Berkenaan dengan entryku kali ni, dah lama dah sebenarnya nak tulis. Namun kekangan masa yang tak mengizinkan. Alhamdulillah, hari ni inshaAllah adalah masanya, Allah masih memberi peluang kepada ana. Setiap sedutan oksigen-oksigen yang terdapat di sekeliling kita adalah untuk tujuan kita terus bertaubat kepadaNya. Tidak kira yang beriman ataupun tidak, semua dapat. Subhanallah, Allah itu Maha Luas PemberianNya.

Da'wah adalah satu perkataan yang tidak asing lagi bagi para du'at. Ia juga merupakan perkara terpenting dan yang paling digemari bagi orang-orang yang meminati dunia tarbiyyah. Kebiasaan yang kita dengar adalah "Ada Apa Dengan Cinta". Dan pada zaman ICT sekarang, remaja lebih dikaitkan dengan Remaja & Cinta, Remaja & Hiburan, Remaja & Lepak, Remaja & Dadah (na'uzubillah) serta banyak lagi perkara-perkara yang berkaitan yang merosakkan nama remaja tu sendiri. Jarang yang didengar tentang Remaja & Da'wah, Remaja & Islam, Remaja & Tarbiyyah dsb.

Kenapa remaja yang kukaitkan? Kerana merekalah (ana sendiri) penyambung dunia pimpinan akan datang. Rosak mereka, rosaklah dunia masa hadapan. Jadi kali ni sedikit sebanyak ingin kukongsi dengan kalian, juga ia sebagai peringatan untuk diriku sendiri inshaAllah.

Apa itu da'wah?
Mengeluarkan manusia daripada penderitaan dan kegelapan kepada kebahagiaan dan cahaya.

Kenapa perlu da'wah?
  1. menyelamatkan diri daripada azab Allah swt
  2. menyelamatkan ummah
  3. memenuhi sifat mukmin sejati
  4. membezakan diri dari golongan munafiq
  5. mewarisi jalan Rasulullah saw

Antara dalil wajib da'wah, firman Allah swt yang bermaksud:

  • "Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." Ali 'Imran, 3:104.
  • "Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." Ali 'Imran, 3:110.
  • "Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, "Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa." Al-A'raf, 7:164.
  • "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana." At-Taubah, 9:71.
  • "Katakanlah (Muhammad), "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik." Yusuf, 12:108.
  • "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, "Sungguh, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?" Fussilat, 41:33.

Bila dah buat da'wah, niat mesti ikhlas dan mengharapkan keredhaanNya semata dan apabila orang yang diajak (mad'u) lari (tidak mempedulikan kita), mintalah pada Allah untuk diberi kekuatan.

Salah satu kelebihan bawa da'wah. Allah swt berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." Ali 'Imran, 3:31.

Ingatlah, kita bukan yang memulakan tetapi kita adalah penyambung misi ini (risalah para rasul).

Semoga perkongsian yang sedikit ini menguatkan hati kita untuk meneruskan kerja-kerja yang penuh dengan liku-liku kepayahan. Bagi yang belum mula, mudah-mudahan ini membuka hati kita untuk melakukannya dan rasailah nikmatnya apabila telah mendapat hasil, inshaAllah.

Ain: Ya Allah, pilihlah kami. Sesungguhnya du'at adalah hanya orang-orang yang Engkau pilih.

Thursday, October 8, 2009

Hati rasa jauh

seminggu dua ni rasa sangat sedih. entah kenapa...setiap perkara yang dilakukan serba x kena. hati ini terasa sangat ingin dekat denganNya namun dalam masa yang sama terasa jauh dari nikmatNya.

apa yang mampu kulakukan adalah ambil wudhu' dan 'luangkan masa' denganNya. barangkali ada kerja-kerja da'wah yang kuabaikan.

pernah aku terbaca nota seorang sahabat. tajuknya 'Penghalang Da'wah':
  1. taubat-kurang
  2. terlalu bermewah dengan perkara harus
  3. terlalu pentingkan perkara dunia-ubatnya zuhud
  4. niat tidak tetap dengan asal tujuan
dah mula dah mood malasku, tiba-tiba je 'on'.